mutakhir

Terputus dua kereta mangsa kemalangan

Oleh Recqueal Raimi

KERETA dinaiki terputus dua selepas merempuh pokok, namun hayat seorang lelaki masih panjang apabila dia hanya cedera dalam kemalangan di Jalan Lakang berhampiran loji Telibong, Tamparuli, Tuaran, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa hanya mahu dikenali sebagai Zenelter, 32, dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tuaran.

Mangsa ketika dihubungi berkata, ketika kejadian dia memandu Proton Wira dari arah Tuaran ke rumahnya di Tamparuli sebelum kenderaan terbabit hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh pokok di bahu kiri jalan.

"Kemalangan itu berlaku dengan pantas dan saya sempat melihat bahagian hadapan kereta terpisah," katanya.

Menurut Zenelter, dia dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa menaiki ambulans ke Hospital Tuaran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Saya bersyukur kerana kecederaan tidak teruk dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini," katanya.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa hanya cedera dan dirawat sebagai pesakit luar.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 12:56pm
d