mutakhir

[UPDATE] Suspek bunuh rakan direman

Oleh Omar Osman

POLIS hari ini mendapat perintah tahanan reman selama seminggu ke atas dua suspek susulan penemuan mayat lelaki dari Kajang, Selangor, dalam motel di Sungai Petani, semalam.

Perintah tahanan reman ke atas dua lelaki berumur 20an itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sungai Petani, Noor Lyana AB Rahim bermula hari ini sehingga 11 Mac.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisiner Saifi Abdul Hamid, berkata, dua suspek terbabit ditahan secara berasingan di sekitar Kampung Pengkalan Lebai Man enam jam selepas pekerja motel menemui mangsa pada 8 malam tadi.

Beliau berkata, polis mengenalpasti identiti kedua-dua suspek melalui rakaman kamera litar tertutup ( CCTV) motel yang terletak di Taman Bandar Baru, Jalan Cinta Sayang itu.

Saifi berkata, mangsa yang berasal dari Taman Kajang Utama di Kajang itu, telah mendaftar di hotel itu pada 6 petang dengan ditemani dua lelaki berkenaan.

"Pada 8 malam, pekerja motel mendengar bunyi bising dari bilik mangsa sebelum dua lelaki berkenaan keluar dari bilik dan meninggalkan motel tersebut.

"Bimbang sesuatu buruk berlaku, pekerja itu telah pergi ke bilik mangsa yang terletak di tingkat dua, lima minit kemudian dan menemuinya dalam keadaan leher dijerut dengan seutas wayar.

"Mangsa masih bernyawa pada itu dan pekerja tersebut membantu menanggalkan wayar berkenaan sebelum menghubungi pihak hospital.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, mangsa turut mengalami kesan luka pada dahi dan rusuk kanan serta belakang badan.

Saifi berkata berdasarkan rakaman CCTV motel itu, polis telah menjalankan gerakan memburu dua suspek tersebut dan menahan mereka awal pagi tadi.

Kes disiasat Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan kita masih menyiasat motif pembunuhan," katanya.

Berita berkaitan:

Bunuh rakan di bilik air

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 3:56pm
d