mutakhir

Pekerja hotel temui mayat

Oleh Shamsul Munir Safini

MAYAT seorang lelaki warga Jerman ditemui dalam sebuah bilik di hotel di Seberang Jaya, 8.20 pagi, hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Ralf Der, 56, ditemui tidak sedarkan diri oleh pekerja hotel sebelum polis dimaklumkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya sejurus selepas itu sebelum disahkan sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, mangsa datang ke negara ini atas urusan kerja di Syarikat LPKF Laser and Electronic.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa menginap di hotel itu pada 24 Februari dan kali terakhir dilihat oleh rakannya pada 3 Mac lalu.

Katanya, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 4:29pm
d