mutakhir

Lapor dulu sebelum rakam

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

TINDAKAN orang ramai yang lebih gemar merakam gambar sesuatu kejadian sebelum menghubungi bomba antara faktor pasukan penyelamat itu lewat menerima panggilan kecemasan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, ia dikesan hasil semakan semula masa panggilan yang diterima apabila berlaku sesuatu kejadian.

Justeru katanya, orang ramai dinasihati segera membuat panggilan supaya pasukan penyelamat bertindak lebih awal dan tiba di lokasi secepat mungkin.

“Seperti kes kebakaran, sepatutnya orang ramai yang melihat kejadian itu memberikan bantuan terus dengan menghubungi pihak bomba.

“Dalam sesetengah kes mungkin pemilik tidak menyedari berlaku kejadian itu, ada yang panik atau trauma jadi orang awam perlu cepat memaklumkannya kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Pingat Kebesaran Jabatan, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun 2017 JBPM Perak di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 142 anggota bomba menerima penghargaan selain galakan kepada anggota untuk meningkatkan prestasi terbaik.

Hadir sama, Pengarah JBPM Perak, Datuk Yahaya Madis.

Wan Mohd Nor berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan prestasi pegawai bomba terutama fokus pada masa tindak balas kerana mutu perkhidmatan juga bergantung kepada masa tindak balas berkenaan.

“Sebelum ini kita banyak menerima rungutan awam yang (bomba) lambat sampai (lokasi kejadian), namun sekarang ini kita mendapati rungutan itu semakin kurang.

“Jika ada rungutan kita akan memeriksa semula rekod dan mendapati ada kelewatan membuat panggilan kepada bomba,” katanya sambil menambah kes lewat tiba selepas menerima panggilan juga kerana jarak lokasi yang jauh.

Terdahulu, Wan Mohd Nor menyempurnakan pemakaian pangkat Penolong Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.

Dalam Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat JBPM kepada Datuk Bandar Ipoh itu, Zamri turut dianugerahkan pingat Ketua Pengarah Bomba (PKPB).

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 5:36pm
d