mutakhir

23 pelajar mengaku salah buli rakan [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

DUA puluh tiga bekas pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Kuala Nerus mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga rakan mereka dalam kejadian buli pada Ogos tahun lalu.

Semua tertuduh yang ketika kejadian berusia 17 tahun mengangguk faham ketika lima pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang dibacakan berasingan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh berusia 17 tahun didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas tiga mangsa berusia 16 dan 17 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bilik dan luar surau kolej berkenaan antara 9 malam hingga 10.30 malam pada 7 Ogos 2017 dan 1.35 pagi hingga 3.40 pagi pada 8 Ogos 2017.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah semua tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 25 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan perintah sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah juga membenarkan semua tertuduh diikat jamin antara RM1,000 hingga RM3,000.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan perasaan tidak puas hati antara pelajar senior dan junior dipercayai punca kejadian buli membabitkan tiga mangsa di kolej vokasional berkenaan.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 6:06pm
d