mutakhir

Polis rampas dadah bernilai RM6.2 juta

Oleh Fazrik Kamarudin

SINDIKET pengedaran dadah tumpas berikutan penahanan lima individu yang membawa kepada rampasan lebih 130 kilogram (kg) pelbagai jenis bahan larangan itu dianggarkan bernilai RM6.2 juta.

Kesemua suspek ditahan secara berasingan melalui tujuh siri serbuan dalam tempoh lima jam bermula 7.30 malam kelmarin hingga 12.30 tengah malam keesokkannya di sekitar Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, serbuan dilakukan JSJN Bukit Aman bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Buki Aman.

“Kita berjaya melumpuhkan satu sindiket didalangi empat lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 28 hingga 48 tahun.

“Empat suspek ditahan di kawasan Ledang, Johor, manakala seorang lagi suspek ditahan di ibu negara. Hasil pemeriksaan kita mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkait kes dadah.

“Kesemua yang ditahan direman selama tujuh hari hingga 10 Mac depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

Hasil serbuan dijalankan, beliau berkata, polis merampas 43.7 kg dadah disyaki syabu, 53.95 kg disyaki pil ektasi, 31.40 kg disyaki heroin, 3.75 kg disyaki ketamin dan 2,000 pil disyaki Eramin 5.

“Kesemua dadah ini dianggarkan bernilai RM6.2 juta dan disyaki untuk diedarkan ke negara jiran serta pasaran tempatan, dipercayai untuk kegunaan kira-kira 491,000 penagih,” katanya.

Mohmad berkata, pihaknya turut menyita kenderaan dan wang tunai milik sindiket berkenaan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM634,000.

“Antara kenderaan disita ialah enam kereta pelbagai jenis, sebuah motosikal jenis Yamaha Legenda, seutas rantai emas dan loket serta wang tunai berjumlah RM66,068,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 7:30pm
d