mutakhir

'Memang cari nahas'

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

KERETA dinaiki empat penjenayah bertindak melawan arus sebelum melanggar beberapa kenderaan lain ketika dikejar polis di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian 7 malam itu kereta Proton Saga dinaiki suspek turut mengundur beberapa kali selepas terbabas dan melanggar penghadang jalan biarpun dikepung polis berdekatan susur masuk Setiawangsa.

Bagaimanapun, usaha penjenayah gagal sebaik anggota polis melepaskan dua das tembakan ke udara sebagai amaran sebelum berjaya memberkas mereka.

Sumber polis berkata, sebelum kejadian kumpulan penjenayah berkenaan dipercayai melakukan tinjauan dipercayai untuk melakukan rompakan di Taman Sri Rampai pada 6.15 petang.

Menurutnya, kelibat mereka bagaimanapun disedari seorang anggota polis yang tinggal di kawasan perumahan itu sebaik melihat kehadiran sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota polis berkenaan kemudian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bagi memohon bantuan untuk membuat pemeriksaan terhadap kereta berkenaan.

"Namun, sebaik anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju tiba untuk membuat pemeriksaan, suspek kemudian bertindak memecutkan kenderaan dinaiki.

"Suspek kemudian memasuki DUKE dari arah bertentangan hingga memaksa polis mengejar mereka," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, sepanjang cubaan melarikan diri hampir satu jam itu, kenderaan dipandu suspek melanggar beberapa kenderaan lain yang menggunakan lebuh raya berkenaan.

"Kenderaan suspek hanya berhenti apabila kereta dipandu melanggar sebuah Proton Waja dan terbabas sebelum melanggar penghadang konkrit berhampiran susur masuk Setiawangsa.

"Bagaimanapun, ketika terbabas, penjenayah masih cuba beberapa kali untuk melarikan diri dengan mengundurkan kereta dipandu, namun gagal," katanya.

Katanya, kumpulan penjenayah menyerah diri selepas polis melepaskan dua das tembakan ke udara.

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek turut menemui peralatan dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah," katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 2:14am
d