mutakhir

Patutlah trafik sesak...

Oleh Audrey Dermawan

LALUAN Jambatan Pulau Pinang menghala ke pulau mengalami kesesakan teruk berikutan kejadian sebuah lori terbabas dan melanggar tembok jambatan di sini, awal pagi ini.

Kejadian itu berlaku 3.30 pagi, namun kelewatan kerja mengalih kenderaan berat itu, menyebabkan kesesakan teruk pada waktu kemuncak pagi.

Pengguna mendakwa mengalami kelewatan akibat kesesakan sehingga beberapa kilometer.

Ketua Polis Daerah Seberang Tengah, Asisten Komisioner Nik Tos Azhan Nik Abdul Hamid, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kesesakan pada 7.20 pagi oleh pengguna yang terperangkap dalam kesesakan trafik.

Katanya, pemeriksaan mendapati pemandu lori berkenaan dipercayai hilang kawalan dan melanggar tembok penahan di Kilometer 1 (KM1) jambatan dan menghalang sebahagian laluan berkenaan.

"Pemandu lori berkenaan mengalami cedera dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Difahamkan ketika ini kerja mengalihkan lori dan kerja pembersihan di lokasi sudah selesai dilakukan dengan trafik semakin lancar di laluan berkenaan.

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 11:25am
d