mutakhir

Dewan Rakyat: Pelancong China mesti daftar masuk Malaysia

Oleh Syed Umar Ariff; Nazura Ngah; Hidir Reduan; Fairul Asmaini Mohd Pilus; Veena Babulal; Luqman Arif Abdul Karim dan Ahmad Suhael Adnan

PELANCONG China akan tetap didaftarkan ketika memasuki negara ini untuk pelbagai tujuan, meskipun mereka tidak perlu memohon visa perjalanan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, permintaan khas itu disuarakan Kerajaan China dalam memastikan setiap rakyatnya menetap di Malaysia mengikut tempoh yang ditetapkan.

"Kita sudah laksanakan perkara ini, tetapi kerajaan mereka minta supaya setiap kemasukan rakyatnya didaftarkan.

"Oleh itu, kita jalin kerjasama supaya setiap pelancong China yang datang ke negara ini akan dimaklumkan kepada pihak berkuasa China kerana rakyat mereka hanya diberi visa 15 hari.

"Selepas tempoh itu tamat, mereka harus pulang ke negara asal," katanya menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Fong meminta pertimbangan kerajaan dalam memberikan pengecualian visa kepada pelancong China susulan kadar kemasukan rakyat republik itu ke Malaysia saban tahun menjana pendapatan pelbagai sektor.

Menjawab soalan asal daripada Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong), Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pelaksanaan visa elektronik (e-Visa) setakat ini menjana pelbagai manfaat untuk dinikmati negara berkaitan.

Susulan kemudahan permohonan menerusi dalam talian dan mencetak sendiri visa dalam tempoh 40 hari daripada tarikh permohonan, Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan e-Visa berupaya menangani masalah logistik.

"Pemohon tidak lagi perlu tampil di pejabat perwakilan. Setakat semalam, kita mengeluarkan 734,364 visa, iaitu 406,750 visa pada 2017 dan 68,815 visa untuk tahun ini.

"Pada 2016 pula, kita mengeluarkan 258,799 visa," katanya.

Mengulas aspek mekanisme pemantauan, Ahmad Zahid berkata, setiap kemasukan pelancong asing perlu melalui Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS), seiring usaha kerajaan mengukuhkan kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara.

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 12:00pm
d