mutakhir

STPM 2017: KISAS terus unggul di persada negara

Oleh Norzamira Che Noh

EMPAT pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang memperoleh keputusan penuh Purata Nilai Gred (PNG) 4.0 dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diumumkan hari ini.

Kejayaan itu sekali gus menjadikan KISAS sekolah terbaik STPM Peringkat Kebangsaan dengan Gred Purata (GP) sekolah 3.46.

Pelajar terbabit ialah Nurul Syazwani Ismail, Nur Nabilah Mohamad, Qurratu Ain Nabila Rosli dan Nurain Sabrina Ibrahim berusia 20 tahun.

Menurut Nurul Syazwani, kejayaannya itu hasil berkat doa dan sokongan pelbagai pihak terutama ibu bapa, guru dan rakan-rakan.

"Sejujurnya, saya tidak menyangka boleh mendapat keputusan 4.0 namun sentiasa menanamkan dalam diri bahawa saya boleh berjaya dengan berkat doa orang sekeliling.

"Saya percaya sesuatu kejayaan bukan hanya atas usaha dan doa kita sendiri tetapi doa orang-orang yang mahu melihat kita berjaya," katanya ketika ditemui di KISAS, hari ini.

Dia dan Rakan-rakan sering belajar bersama serta berkongsi ilmu jika ada yang kurang memahami subjek tertentu.

"Saya juga mengamalkan pemakanan sunnah seperti kurma dan kismis yang dibekalkan oleh ibu selain bangun seawal jam 5 pagi untuk belajar serta solat sunat Tahajjud sebelum ke kelas," katanya.

Anak ketujuh daripada lapan adik beradik yang berasal dari Kluang, Johor itu bercita-cita untuk menjadi penasihat kewangan Islam dan akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dalam jurusan syariah dan ekonomi.

Sementara itu, bapanya, Ismail Bahari, 59, tidak menyangka anaknya berjaya mendapat kedudukan pertama dalam STPM.

"Saya tahu dia antara pelajar yang cemerlang sekolah ini tetapi fikir masih ramai yang mengatasinya berdasarkan keputusannya sebelum ini.

"Bagaimanapun, ini rezekinya dan saya berasa amat bersyukur dengan kejayaannya," katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 5:05pm
d