mutakhir

Penganggur nafi liwat bapa saudara

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, atas pertuduhan meliwat bapa saudaranya dan melakukan kekerasan jenayah terhadap neneknya.

Tertuduh, 25, yang juga penganggur mengangguk faham ketika tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja meliwat mangsa, 28, tanpa kerelaan di sebuah rumah di Batu Rakit, Kuala Nerus antara 12 tengah malam hingga 2 pagi pada Mac 2016.

Tertuduh sekali lagi mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa di alamat sama antara 7.30 malam hingga 8.30 malam pada pertengahan Januari lalu.

Kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan kekerasan jenayah ke atas ibu mangsa, 70, di alamat sama pada 2.30 petang, 12 Februari lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 352 kanun sama, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 27 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang lelaki nekad melaporkan perbuatan terkutuk anak saudaranya selepas tidak tahan menanggung seksa diliwat.

Berita berkaitan

'Uncle, tak rela...'

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 5:22pm
d