mutakhir

Mana ada elektrik kena potong

Oleh Nur Izzati Mohamad

“Apa yang ditularkan mengenai masalah kewangan pusat jagaan ini memang benar, tetapi ia tidaklah teruk seperti digambarkan individu yang memuat naik status di media sosial,” kata Penyelia Pusat Jagaan Kasih Abadi, Nurul Aqilah Al Ashari.

Pusat jagaan yang mula beroperasi pada Januari lalu menempatkan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun terdiri daripada keluarga miskin, anak yatim, terbiar dan golongan asnaf.

Nurul Aqilah, 25, berkata, pusat jagaan itu diilhamkan seorang individu yang mahu menjalankan kerja kebajikan membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dengan menghimpunkan mereka dalam satu rumah dan menyediakan ilmu pendidikan.

“Pada mulanya, pusat jagaan ini dibuka di sebuah rumah di Seberang Jaya pada 2013 namun terpaksa menghentikan operasi buat seketika kerana berdepan dengan beberapa masalah antaranya proses mendapatkan lesen daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita menghentikan operasi hampir dua tahun sebelum membukanya semula awal tahun ini dengan membuat pembahagian yang mana kanak-kanak lelaki ditempatkan di sebuah rumah dekat Taman Alamanda manakala kanak-kanak perempuan pula dekat rumah ini di Bandar Putra Bertam” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jelasnya, apabila membuka dua pusat itu serentak sudah tentunya pihak pengurusan berdepan dengan masalah mendapatkan dana bagi membolehkan kebajikan 36 kanak-kanak yang berlindung terjaga dengan baik.

“Kita memerlukan kira-kira RM20,000 sebulan bagi kos sewa rumah, pengangkutan, utiliti seperti air, elektrik, pendidikan serta makan minum kanak-kanak ini termasuk membeli susu dan lampin pakai buang.

“Namun, untuk mendapatkan dana sebanyak itu diakui agak sukar hingga kita lambat menjelaskan bayaran namun tidaklah sampai berlaku pemotongan elektrik seperti yang ditularkan,” katanya.

Nur Aqilah berkata, pengurusan pusat jagaan itu masih mampu membiayai segala perbelanjaan namun ia lambat sedikit kerana sumber kewangan utama diperoleh daripada sumbangan orang ramai.

“Bagaimanapun, pihak kita juga tidak hanya mengharapkan sumbangan orang ramai semata-mata apabila mula bergerak dengan projek perniagaan menjual produk kuih sejuk beku yang secara tidak langsung boleh menampung perbelanjaan.

“Inisiatif ini diambil pihak pengurusan iaitu pada waktu malam, kita mula beroperasi membuat produk sejuk beku ini,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Fida Marlisa Sulaiman, 38, berkata, dia dan suaminya, Rahizal Abdul Rahim, 40, melawat serta menyumbang barangan dapur kepada pusat jagaan itu selepas tersebar luas di Facebook sejak semalam.

“Saya ingin tahu dan melihat sendiri apa yang diperlukan pusat jagaan ini dan ia menyentuh perasaan saya serta suami hingga terpanggil untuk membantu.

“Insya-Allah, mungkin akan ada lagi bantuan yang akan diusahakan kami berdua kepada kanak-kanak ini nanti, termasuk akan menggalakkan lebih ramai insan yang prihatin datang membantu,” katanya.

Semalam, pusat jagaan itu tular di media sosial dengan mendakwa terdapat tunggakan bil elektrik mencecah RM3,000 hingga pengurusan berdepan dengan amaran pemotongan bekalan.

Selain itu, gambar kanak-kanak yang tidur di lantai juga menarik perhatian netizen yang bersimpati terhadap keadaan yang berlaku namun ia dinafikan pihak pengurusan dengan mengatakan keadaan itu tidak teruk seperti itu apabila mereka menyediakan tilam untuk kanak-kanak itu tidur.

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 5:27pm
d