mutakhir

'Eksport' baju bulu

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Cuba raih pendapatan lumayan melalui kegiatan menyeludup kot bulu dipercayai diperbuat daripada kulit haiwan liar untuk pasaran negara jiran.

Itu kegiatan seorang lelaki tempatan yang diberkas Anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) selepas didapati cuba menyeludup 46 baju bulu melalui Pos Pemeriksaan Kenderaan Ringan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Datuk Abdul Kadir Hashim berkata, lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 3.30 petang, Selasa lalu ketika pemeriksaan dijalankan anggota AKSEM terhadap pacuan empat roda dipandu suspek menuju ke Thailand.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap pacuan empat roda Toyota Hilux itu menemui pelbagai barangan aksesori kereta diletakkan di bahagian belakang kenderaan itu.

“Namun pemeriksaan rapi menemui satu karung guni dililit dengan dawai disorokkan di celah aksesori kenderaan berkenaan.

“Sebaik dibuka, pihak berkuasa menemui 46 baju bulu dipercayai diperbuat daripada kulit haiwan liar,” katanya.

Kadir berkata, semua baju itu tidak diisytiharkan kepada pihak berkuasa semasa pemeriksaan dilakukan.

“Malah, semua pakaian itu tidak memiliki sebarang dokumen eksport yang sah daripada pihak PERHILITAN.

“Pihak AKSEM kemudian menyerahkan semua barang rampasan itu kepada Jabatan PERHILITAN Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, semua sampel baju bulu itu dihantar ke Makmal Forensik Ibu Pejabat PERHILITAN Kuala Lumpur menjalani analisis DNA.

“Langkah ini perlu dilakukan bagi mengenal pasti spesies haiwan yang dijadikan mangsa untuk menghasilkan baju berkenaan termasuk sekiranya ia .

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk diambil tindakan,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 6:31am
d