mutakhir

Isteri kudung, suami lumpuh

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu yang terpaksa ditempuhi wanita yang kudung kedua kaki tetapi tetap menjaga suami yang lumpuh akibat penyakit angin ahmar sejak lima bulan lalu.

Rahila Din, 66, dari Taman Free School di sini berkata, walaupun dirinya tidak berupaya untuk bergerak dengan mudah seperti dahulu kerana perlu menggunakan kerusi roda, tetapi dia juga perlu menjaga suami, Hamzah Mohamed, 83, yang kini hanya terlantar.

Bagaimanapun, Rahila melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT apabila anak bongsu lelaki yang tinggal bersamanya turut membantu.

Menurutnya, dia juga terpaksa menjaga dua cucu perempuan berusia lapan dan 11 tahun kerana bapa mereka berada di dalam penjara selain ibu mereka telahpun berkahwin lain.

“Sejak mengidap penyakit kencing manis, kedua kaki terpaksa dipotong sehingga paras paha. Bukan itu sahaja, saya turut mengidap penyakit jantung, darah tinggi, rabun mata dan hilang selera bau.

“Saya hanya bergantung pada pencen suami berjumlah RM950 dan bantuan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Georgetown semalam.

Rahila berkata, dia juga berharap sekiranya ada pihak lain yang sudi membantu serba sedikit untuk memberi keperluan makanan, lampin pakai buang dan wang perbelanjaan.

Beliau juga terharu apabila penderitaannya mendapat perhatian Biro Kebajikan Liga Muslim Pulau Pinang (LMPP) untuk tampil membantu serba sedikit menghulurkan sumbangan.

Bagi Timbalan Presiden LMPP, Shahul Hameed Syed Mohamed, pemberian bantuan adalah sebahagian rasa prihatin dan rasa tanggungjawab pihak LMPP kepada Rahila sekeluarga.

“Kita hadir menyampaikan keperluan makanan dan wang tunai untuk kegunaan harian selain mengharapkan ada pihak lain yang sudi tampil membantu keluarga Rahila ini,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah datang ke Blok KA-1-2, Flat Taman Free School, Georgetown.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 2:43pm
d