mutakhir

Perbezaan sertu dan samak

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PROSES sertu adalah proses menyucikan sesuatu daripada najis mughalazah (najis berat) iaitu anjing, babi, dan keturunannya.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata, proses sertu perlu dilakukan jika sesuatu bahan dijilat atau disentuh najis berat.

Beliau berkata, bahan berkenaan hendaklah disertu dengan basuhan sebanyak tujuh kali dan sekali air tanah.

"Berbeza dengan samak pula ialah satu perbuatan menyucikan sesuatu daripada kulit binatang dengan menggunakan bahan kesat seperti pasir dan sebagainya.

"Samak ini kebiasaannya digunakan untuk samak kulit bagi mengeluarkan daging yang terlekat pada kulit haiwan yang ingin digunakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Harussani berkata, tindakan ahli jawatankuasa masjid itu adalah tindakan tepat.

"Sekiranya proses sertu sudah dijalankan, maka masjid berkenaan sudah bersih dan boleh digunakan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam tadi, seorang jemaah Masjid Sungai Pelong, Sungai Buloh cedera apabila disondol babi hutan yang masuk ke dalam masjid ketika jemaah menunaikan solat sunat ba’diah Maghrib.

Babi hutan berkenaan dikatakan tiba-tiba muncul di perkarangan masjid sebelum mengejar beberapa kanak-kanak yang berada di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, haiwan itu kemudian lari masuk ke dalam masjid dan menyondol seorang jemaah sehingga cedera.

Jemaah yang terkejut dengan kejadian itu kemudian cuba menghalau haiwan terbabit sebelum ditembak mati oleh seorang penduduk.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Babi hutan disangka kanak-kanak'

Permaidani ganti baru, bahagian terjejas disertu [METROTV]

Babi hutan 'menyondol' dalam masjid

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 6:31pm
d