mutakhir

'Patut la mak cik tak muncul...'

Oleh Azahar Hashim

“SETIAP pagi sebelum mandi di sungai, ibu saudara saya akan singgah di rumah kami untuk berbual, tetapi pagi tadi arwah tidak muncul, malah rumahnya berkunci," kata Mohamad Sohaime Hussin yang juga anak saudara kepada mangsa lemas di Kampung Kuala Sedim, Sungai Karangan, Kulim, hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mayat Rafeah Abu Bakar, 72, ditemui terapung berhampiran kawasan mengorek pasir kira-kira 5 kilometer dari tempatnya dipercayai mandi di Sungai Merbau Pulas.

Mohamad Sohaime, 24, berkata dia kemudian melaporkan kepada polis selepas menyedari kehilangan ibu saudaranya.

Katanya, kali terakhir dia bertemu arwah ibu saudaranya ialah 6 petang Isnin lalu.

“Kebiasaannya setiap hari jam 8 pagi, arwah akan pergi mandi di sungai terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya dan sekali lagi pada waktu petang sekitar jam 5 atau 6 petang.

"Apabila dia tidak muncul pagi tadi, pada mulanya kami sangka mungkin arwah dijemput seseorang atau pergi ke rumah saudara mara di tempat lain.

"Bagaimanapun kami mengesyaki arwah mungkin pergi mandi di sungai kerana kelengkapan seperti kain basah serta sabun tiada di dalam rumah," katanya ketika ditemui di Kampung Merbau Pulas, hari ini.

Mohamad Sohaime berkata, selepas usaha mencari gagal, pihaknya dimaklum mengenai penemuan mayat seorang wanita di kawasan berhampiran aktiviti mengorek pasir.

Beliau berkata, mayat wanita terbabit kemudian disahkan milik ibu saudaranya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes dikategorikan sebagai mati mengejut.

   

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 6:47pm
d