mutakhir

Siapa ibu bayi lelaki ini?

Oleh Amirul Aiman

“PADA mulanya, saya menyangkakan bunyi yang datang dari tempat solat wanita itu kucing bergaduh, tapi rupanya tangisan bayi lelaki dalam beg sandang biru gelap,” kata suri rumah, Suraya Yahya, 30.

Dalam kejadian 6 petang semalam, bayi lelaki berkenaan dijumpai di surau di Kampung Batu Dua Sepintas, Sabak Bernam.

Bayi berkenaan ditemui dalam keadaan berbalut dengan tuala berwarna putih dan tudung bawal berwarna jingga di dalam beg itu.

Suraya berkata, ketika kejadian dia sedang menunggu anaknya selesai mengaji al-Quran di rumah bersebelahan surau itu.

“Menjadi kebiasaan saya menanti anak keluar dengan meletakkan motosikal di hadapan rumah berkenaan.

“Tetapi semalam terdetik dalam hati saya meletakkan motosikal di hadapan surau dan ketika itulah, bayi berkenaan dijumpai.

“Ketika menemui bayi itu, keadaannya cukup sifat. Cuma pusatnya berdarah dan kaki serta tangan berada dalam keadaan pucat,” katanya.

Menurutnya, sepanjang empat tahun menetap di kampung itu, kejadian berkenaan adalah kali pertama berlaku pada dirinya.

“Sebelum ini, saya sering mendengar kes buang bayi melalui media cetak dan elektronik. Kali ini, saya sendiri merasai pengalaman itu.

“Mujurlah penduduk bertindak pantas menghubungi hospital. Jika tidak, mungkin bayi itu berisiko tinggi meninggal dunia,” katanya.

Katanya, dia menghubungi ketua kampung dan turut membuat laporan di Balai Polis Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 7:51pm
d