mutakhir

Abang Abu sudah 'kantoi'

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

DALANG sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dan permit dikenali sebagai Abang Abu yang juga warga Bangladesh ditahan dalam serbuan di Brickfields, hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pembongkaran itu rentetan kejayaan mereka melumpuhkan rangkaian sindiket terbesar membabitkan penahanan 26 warga asing di Lembah Klang, semalam.

Katanya, dalam operasi bermula 6 petang semalam dan berakhir 2 pagi hari ini, sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa memberkas lelaki, 30, dipercayai dalang sindiket.

"Suspek ditahan ketika menunggu pelanggan untuk menyerahkan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

"Hasil tangkapan itu, kami merampas dua pelekat PLKS, lima lesen memandu antarabangsa Nigeria dan satu lesen memandu Malaysia yang dipercayai palsu,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, semalam.

Menurutnya, suspek turut dibawa ke sebuah rumah di Brickfields dan hasil pemeriksaan menemui dua pelekat PLKS, lesen memandu antarabangsa Bangladesh (1), lesen memandu antarabangsa Sierra Leone (1), sekeping E-Kad (kad identiti pekerja asing mengikut sektor) serta tiga kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Katanya, turut ditemui komputer riba, mesin pencetak, alat pemotong kad, mesin laminating, pemotong pelekat dan sejumlah peralatan digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu.

“Siasatan awal mendapati, suspek sudah menjalankan aktiviti berkenaan sejak dua tahun lalu dengan setiap kad palsu dijual pada harga antara RM100 hingga RM150 sekeping.

"Suspek turut memperoleh keuntungan antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan hasil kegiatan berkenaan.

"Kami mendapati, suspek menerima tempahan kad palsu tanpa melalui orang tengah dan semua urus niaga dilakukan di restoran sekitar Brickfields," katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) dan 55D Akta Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 7:55pm
d