mutakhir

Tak mampu kumpul RM37,000

Oleh Mohd Khidir Zakaria

PESAKIT kanser tulang di Kampung Jimah Lama, Port Dickson yang menderita akibat penyakit itu sejak 10 tahun lalu merayu bantuan masyarakat prihatin bagi menampung kos pembedahan dianggarkan berjumlah RM37,000.

Abdul Rahman Zulfaqar, 36, yang sebelum ini bekerja sebagai peraih ikan di kawasan Port Dickson tidak dapat meneruskan tugasnya itu kerana kesukaran bergerak dan terpaksa memakai tongkat.

Sehubungan itu, isterinya, Murina Mohammad, 36, yang bekerja sebagai pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Sendayan terpaksa menanggung perbelanjaan mereka sekeluarga termasuk empat anak berusia empat hingga 14 tahun.

"Sebelum ini kami menyewa di Sendayan, tetapi kini terpaksa menumpang di rumah ibu mentua saya sejak dua bulan lalu. Saya memiliki kad orang kurang upaya (OKU), namun masih tidak mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lagi.

"Sebenarnya saya perlu menjalani rawatan dua bulan sekali di Pusat Kajian Sains Perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian, Kelantan.

"Mana saya nak cari duit untuk ke sana dan sejak pembedahan pertama pada 2008, saya tidak pernah lagi ke sana sebab tidak mampu," katanya.

Abdul Rahman berkata, dia serba salah kerana terpaksa menumpang di rumah mentua, tetapi apakan daya kerana tidak mampu lagi menyewa rumah.

"Saya amat berharap supaya mendapat bantuan kerana kos pembedahan memerlukan belanja RM37,100 di USM, Kubang Kerian. Itu belum lagi termasuk lain-lain perbelanjaan seperti makan, minum dan minyak kereta.

"Terima kasih kepada keluarga isteri yang sanggup menerima kami menumpang, namun saya perlu berusaha mengubati penyakit ini," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Abdul Rahman di talian 016-3440173 atau nombor akaun Agro Bank milik Abdul Rahman Zulfaqar 1-00-5741-00002056-8 atau akaun isterinya, Murina Mohammad (155014981848 Maybank).

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 8:10pm
d