mutakhir

Ajal bas mengundur

Oleh Ruwaida Md Zain

PEMANDU bas maut dilanggar bas miliknya ketika sedang membaiki kerosakan kenderaan itu di hadapan Masjid At-Taqwa, Bukit Kapar, Klang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, dalam kejadian 11.25 pagi itu, Mohd Fuad Suratman, 51, sedang berada di bawah bas itu untuk membaiki kerosakan klac pada kenderaan berkenaan.

"Ketika kejadian, enjin bas yang diparkir di kawasan lapang hadapan masjid itu dipercayai hidup sebelum ia mengundur sendiri sewaktu mangsa sedang membaiki klac.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa digilis di bahagian kepala serta perut dan bas berhenti selepas mengundur dan melanggar tembok pagar masjid terbabit.

"Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat pada 2.30 petang,” katanya.

Mazelan berkata, keluarga mangsa sudah membuat pengecaman terhadap mayat lelaki berkenaan dan kejadian berlaku di kawasan lapang tidak berturap.

Beliau berkata, ketika kejadian, keadaan cuaca cerah dan tiada kamera rakaman litar tertutup (CCTV) berdekatan tempat kejadian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 9:31pm
d