mutakhir

Ghaib selepas solat Subuh

Oleh Nur Izzati Mohamad

Tasek Gelugor: Tiga pelatih Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dekat Kampung Selamat di sini, dilaporkan hilang apabila melarikan diri selepas solat Subuh, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, pelatih masing-masing berusia 35, 37 dan 52 tahun memanjat pagar setinggi 3.04 meter di kiri dewan pusat berkenaan sebelum mereka meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian disedari penyelia pusat itu sebelum memaklumkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

“Melalui siasatan, tiga pelatih terbabit melarikan diri dipercayai memakai baju-T merah dengan tulisan tertera nama pusat CCRC berkenaan di belakang baju dan berseluar sukan biru gelap.

“Pemeriksaan di lokasi juga mendapati, ketiga-tiga mereka melarikan diri ke arah kawasan kebun sawit selepas memanjat pagar yang ada gelungan dawai berduri,” katanya, semalam.

Katanya, polis turut menemui seluar dan sarung tangan di luar pagar pusat dipercayai digunakan pelatih terbabit.

“Unit anjing pengesan K9 yang berada di lokasi kejadian mula mengesan jejak bermula dari tepi pagar sehingga sempadan Padang Serai, Kedah sebelum jejak didapati hilang.

“Berikutan itu, kami memaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan Kuala Muda bagi mengesan ketiga-tiga pelatih terbabit,” katanya.

Noorzainy berkata, ketiga-tiga pelatih itu baru saja dua bulan ditempatkan di pusat pemulihan berkenaan atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 6:52am
d