mutakhir

Hambat di sungai [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Batu Pahat: Tindakan seorang juragan bot gentian kaca tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa memberhentikan botnya di Sungai Nibong, dekat Tanjung Tohor, Muar, jam 1.30 pagi kelmarin membongkar rahsia membawa dadah bernilai RM316,800.

Dadah itu ditemui dibungkus menggunakan pembalut teh Cina.

Bagaimanapun, juragan dan seorang lagi penumpang bot berkenaan melarikan diri selepas terjun ke laut dan berenang ke kawasan bakau.

Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof, ketika kejadian, pihaknya terserempak dengan sebuah bot gentian kaca dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, bot yang dinaiki dua lelaki itu tidak mengendahkan amaran sebelum memecut laju ke kawasan bakau berhampiran.

“Pemeriksaan pada bot yang ditinggalkan dua suspek membawa sebungkus serbuk mampat dipercayai syabu seberat satu kilogram bernilai RM300,000 serta tiga paket berisi 336 biji pil ekstasi bernilai RM16,800.

“Ia disembunyikan di bawah pukat tunda di dalam bot berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya merampas bot gentian kaca dan enjin bot ditinggalkan dua suspek berkenaan yang semuanya bernilai RM11,000.

“Dadah yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Kimia bagi proses analisis dan siasatan lanjut.

“Kami masih menyiasat sama ada dua suspek itu membabitkan nelayan berikutan bot digunakan mempunyai kelengkapan nelayan, namun masih awal untuk membuat kesimpulan, ” katanya.

Beliau percaya, kes itu membabitkan rangkaian sindiket dadah antarabangsa apatah lagi modus operandi dan bungkusan pembalut teh Cina yang digunakan adalah sama dengan kes rampasan dadah teh Cina di Melaka, bulan lalu.

“Sehubungan itu, kita bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan serta memburu dua suspek lelaki berkenaan, ” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 7:23am
d