mutakhir

MH370 dalam kenangan

Oleh Veena Rusli

MENGENANG kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang genap empat tahun hari ini, Datuk Seri Najib Razak menitip ingatan terhadap semua penumpang dan kru pesawat terbabit.

Menerusi akaun rasminya di laman sosial Facebook dan Twitter, Perdana Menteri menegaskan, doa dan ingatan rakyat Malaysia terhadap mereka yang tidak diketahui nasibnya, kekal terpahat di hati.

"Selaras perkembangan terbaru berhubung usaha pencarian digerakkan, kita komited terhadap usaha mengesan MH370 dan mengenal pasti nasib mereka yang berada dalam pesawat berkenaan.

"Dalam mengotakan janji itu, kita akan terus mendesak komuniti penerbangan global mengambil langkah sewajarnya untuk menjamin keselamatan ruang angkasa supaya tragedi sedemikian tidak berulang," katanya.

Pesawat MH370 dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.

Penerbangan pesawat B777-200 itu berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam dan dijadualkan tiba di Beijing pada 6.30 pagi waktu tempatan, hari yang sama.

Pesawat berkenaan membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 kru.

Laporan interim keempat siasatan kehilangan pesawat MH370 dijadual dikeluarkan 3 petang ini, bagi memaklumkan perkembangan terbaru misi pencarian pesawat berkenaan sepanjang setahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dilaporkan berkata, laporan itu akan diumumkan Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370.

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 11:50am
d