mutakhir

'Saya terdesak'

Oleh Mohd Khidir Zakaria

IBU tunggal merayu supaya diberi bantuan menyelesaikan hutang sebanyak RM2,000 yang dipinjamnya daripada syarikat pinjaman wang berlesen sejak awal tahun lalu.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah, 51, mendakwa tiada pilihan dan terpaksa membuat pinjaman itu untuk menyelesaikan ansuran perumahan bank yang tertunggak, bagi mengelakkan dia dikenakan tindakan mahkamah.

"Mungkin sesetengah orang melihat RM2,000 itu kecil, tetapi bagi saya yang berpendapatan rendah dan bekerja seorang diri menyara anak yang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) sebelum ini, jumlah itu amat besar.

"Mengikut perjanjian, saya perlu membayar RM400 setiap bulan selama 10 bulan. Tapi akibat kesempitan hidup, saya hanya mampu bayar RM200 sahaja sebulan. Ini menyebabkan perjanjian itu terbatal dan saya perlu membayar kadar faedah RM200 setiap bulan sehingga saya dapat membuat bayaran penuh RM2,000," katanya selepas menerima bantuan makanan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Dan Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di sini, semalam.

Fatimah yang bercerai hampir 20 tahun lalu mendakwa, dengan gaji kakitangan awam sebanyak kira-kira RM1,000 dan dibelenggu pelbagai hutang, dia perlu menanggung kehidupan dia dan anak lelakinya termasuk menyara kos pengajian anaknya di IPTA di ibu negara.

"Saya terdesak ketika itu dan tiada jalan lain selain membuat pinjaman dengan syarikat berkenaan yang bertindak seperti 'ahlong' berlesen. Tak sangka pula kerana akhirnya saya sendiri tersepit dengan perlu membuat bayaran bunga sahaja sejak setahun lalu.

"Kehidupan saya juga makin tertekan kerana kad bank dipegang mereka," dakwanya.

Sementara itu, Setiausaha PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya hanya mampu memberikan bantuan makanan harian dan sedang berusaha mencari dana untuk membantu ibu tunggal terbabit.

"Orang awam yang ingin menyumbang meringankan beban ibu tunggal ini, boleh menghubungi saya di talian 012-9805132," katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 12:07pm
d