mutakhir

Tak mengaku cubit sampai lebam

Oleh Nur Saliawati Salberi

SURI rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas tuduhan mencubit peha anak tiri lelakinya berusia tujuh tahun sehingga lebam, November tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 28 tahun dan hamil empat bulan membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun didapati menganiaya dari segi fizikal ke atas mangsa dengan cara mencubit peha kirinya sehingga meninggalkan kesan lebam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Kelubi Damai, Jasin, kira-kira 7 pagi pada 17 November 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lee Wai Yi mencadangkan jumlah jaminan tinggi dikenakan terhadap tertuduh serta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mendekati mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Farid Aziz merayu jumlah jaminan rendah diberikan dengan alasan dia hanya suri rumah, mengandung empat bulan dan bergantung kepada suami yang hanya bekerja sebagai pemandu lori.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 9 April depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 2:50pm
d