mutakhir

Dadah RM2j dalam bungkusan teh Cina, durian kering

Oleh Mohd Rizal Abdullah

HELAH seorang lelaki menyembunyikan dadah bernilai RM2 juta dalam bungkusan teh Cina dan durian kering jenama luar negara tidak menjadi selepas ditahan polis di sebuah stesen minyak di Simpang Ngu, Jalan Miri - Bintulu, di sini Isnin lalu.

Suspek berusia 23 tahun itu ditahan dalam operasi khas kira-kira 8 malam, membabitkan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, bertindak atas maklumat risikan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Amer Awal berkata, penahanan suspek kemudian membawa penemuan pelbagai jenis dadah di sebuah rumah di Tanjong Lobang, di Miri dipercayai dijadikan pusat pembungkusan barang terlarang itu, khusus bagi pasaran tempatan.

"Hasil pemeriksaan lanjut membawa penemuan syabu seberat 2,578 gram, ganja (3,516 gram), 1,230 pil Eramin 5, selain 3,568 pil Ecstacy dan 950 pil Yaba, dengan berat keseluruhan tujuh kilogram dan nilai pasaran dianggarkan mencecah RM2 juta.

"Sebahagian dadah itu disorokkan dalam bungkusan teh Cina dan pek makanan (durian kering) berjenama luar negara, dipercayai taktik digunakan sindiket terbabit bagi mengaburi kegiatan haram mereka," katanya pada sidang media, pagi tadi.

Mengulas lanjut Amer berkata, jumlah dan nilai rampasan dadah itu adalah yang terbesar di Sarawak bagi suku pertama tahun ini, malah siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dari mana bekalan dadah berkenaan diperoleh dan rangkaian pengedarannya.

"Siasatan awal mendapati semua dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan. Polis percaya terdapat individu lain yang terbabit dalam sindiket pengedaran dadah ini. suspek direman selama tujuh hari sehingga 13 Mac ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 3:27pm
d