mutakhir

Belasah bini kerana cemburu

Oleh Junaidi Ladjana dan Recqueal Raimi

BERANG kerana mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain di laman sosial Facebook (FB), seorang lelaki memukul dan menumbuk wanita itu di Kampung Linau, Kota Belud, semalam.

Dalam kejadian 7 pagi, mangsa, 27, cedera di mata dan bahu kanan.

Menurut sumber, sebelum kejadian mangsa sedang menyediakan sarapan pagi di dapur sambil melayari FB di telefon bimbit.

“Lelaki itu tiba-tiba mendekati isterinya dan meminta telefon bimbit kerana mahu melihat kandungan mesej.

“Bagaimanapun, mangsa enggan memberinya menyebabkan lelaki itu merampas telefon bimbit sebelum dihempas ke lantai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber berkata, lelaki itu kemudian memberikan telefon bimbitnya dan meminta mangsa membuka akaun FB kerana mengesyaki isterinya ada merahsiakan sesuatu.

“Namun, mangsa enggan menyebabkan wanita itu ditumbuk dan dipukul di muka.

“Selepas dipukul oleh suaminya, wanita itu melarikan diri ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan,” katanya.

Susulan laporan itu, suspek berusia 34 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Suspek direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 6:21pm
d