mutakhir

Kaya ke?

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin dan Nur Sufiah Abd Halim

MENYAMAR sebagai orang kaya untuk memancing individu yang menjual barangan berharga di laman web. Itu helah wanita 'kaki kelentong' yang dikenal pasti aktif melakukan penipuan bersama teman lelakinya yang juga warga Britain.

Sebaik mengenal pasti 'sasaran' mereka, pasangan kekasih itu akan mengatur pertemuan bersama mangsa dengan membuat temu janji di kondominium mewah bagi menunjukkan 'kekayaan'.

Menurut sumber polis, wanita berusia 27 tahun serta kekasihnya, 32, berkenaan aktif melakukan penipuan dalam urusan jual beli barangan berharga melalui laman web secara dalam talian.

Katanya, modus operandi mereka adalah mendakwa pembayaran akan dibuat melalui transaksi dari bank luar negara sebelum mangsa diberikan salinan resit palsu sebagai bukti pembayaran

"Mangsa mendakwa mereka mengenali wanita itu selepas dia memaklumkan berminat untuk membeli barangan yang dijual mereka di laman web sebelum mengatur temu janji di kondominium mewah.

"Sebaik menyatakan persetujuan untuk membeli barangan itu, wanita berkenaan mendakwa kononnya dia baru saja balik dari United Kingdom dan tidak mempunyai sebarang akaun bank tempatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber berkata, urusan jual beli berkenaan kerap berlaku di kondominium mewah di sekitar ibu kota dipercayai untuk meyakini mangsanya bahawa dia seorang yang berstatus 'kaya'.

"Suspek kemudian memberikan nombor unit barangan dan nombor slip deposit tunai yang kononnya transaksi dilakukan melalui bank luar negara sebagai bukti pembayaran, namun ia adalah palsu.

"Mangsa yang tidak mengesyaki dirinya ditipu kemudian menyerahkan barangan berharga kepada suspek sebelum pemeriksaan terhadap akaun bank mendapati transaksi pemindahan wang untuk jual beli berkenaan tidak wujud," katanya.

Katanya, semakan mendapati suspek wanita itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan jenayah tipu akibat cuba melarikan kereta sewa di Melaka pada 2015 selain dikehendaki bagi membantu siasatan kes penipuan.

Kisah penipuan wanita itu terbongkar selepas mangsa berkongsi kejadian terbabit kepada satu portal berhubung perkara berkenaan.

Seorang wanita memaklumkan kerugian RM26,900 selepas dua cincin berlian yang dijual kepada suspek, namun tidak menerima sebarang pembayaran.

Selain itu, seorang lagi wanita turut tampil mendakwa ditipu suspek sama dalam urusan jual beli kamera bernilai RM6,500.

Suspek dikatakan mengambil kamera berkenaan ketika mangsa sedang memeriksa pemindahan wang ke dalam akaun bank pada telefon bimbit.

Kedua-dua mangsa sudah membuat laporan di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur, dan Balai Polis Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor yang dibuat pada Jun tahun lalu serta Sabtu lalu.

Difahamkan pasangan kekasih itu dikatakan sudah menipu lebih 30 individu membabitkan penipuan jual beli di laman web dengan nilai kerugian dianggarkan RM100,000.

Mangsa juga dikatakan terbabit dengan kejadian mencuri telefon bimbit sebelum ini yang turut tular di media sosial selepas dikongsikan oleh individu mengenali wanita berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Luthfi Ismail Abdullah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat oleh kedua-dua mangsa terbabit.

"Kami masih memburu suspek berdasarkan laporan berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 6:41pm
d