mutakhir

'Tugasan bertukar jadi abu'

Oleh Farah Suhaidah Othman

“DALAM sekelip mata, rumah itu hangus terbakar,” kata S Kugannan, 22, penghuni rumah sewa di Persiaran Cempaka Sari 9, Taman Cempaka di Ipoh, yang terbakar hari ini.

Dalam kejadian 3.50 petang itu, tiga rumah sederet termasuk rumah sewa didiami tujuh pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) musnah dalam kebakaran berkenaan.

Kugannan yang juga pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Elektrik berkata, ketika kejadian dia bersama tiga rakan serumah berada di tingkat bawah, manakala empat lagi penghuni menghadiri kelas.

Katanya, secara tiba-tiba dia dan rakannya terhidu bau asap sebelum seorang daripada mereka memeriksa di tingkat atas dan mendapati salah sebuah bilik terbakar.

“Kami panik dan terus menyelamatkan komputer riba, kunci kereta, kunci motosikal dan barangan peribadi sebelum menyelamatkan diri.

“Saya berada di tahun akhir pengajian, habis semua tugasan hangus terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Rakan serumahnya M Kuhen, 22, berkata ketika kejadian dia menghadiri kelas di PUO sebelum tiba di rumah sewanya pada 4 petang.

“Saya terkejut sebaik melihat rumah terbakar dan terus menyelamatkan apa sahaja barangan penting.

“Bagaimanapun, kami bernasib baik kerana rakan serumah tidak seorang pun cedera dan jiran juga selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh Mohd Subri Hussin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 3.53 petang.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah teres dua tingkat sebelum memadamkan kebakaran.

“Setakat ini, pihak bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian,” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 7:10pm
d