mutakhir

Bapa kejam dijel

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

TINDAKAN kejam bapa yang sanggup menghentak anak kandungnya berusia empat bulan ke lantai sehingga bayi itu mengalami pendarahan otak dan koma, mendapat pembalasan apabila dia dipenjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap gelandangan, Mohd Amri Ismail, 29, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 5 November 2017.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Zaman berkata, mesej yang jelas perlu di sampaikan kepada masyarakat supaya penderaan kanak-kanak tidak menjadi kes yang berterusan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba membunuh bayi lelakinya yang ketika itu berusia empat bulan sehingga menyebabkan pendarahan dalam otak akibat dihentak ke lantai di bilik sewa di Lorong Haji Taib, Chow Kit di sini pada 7.30 malam, 4 November 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh boleh dikenakan denda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada seseorang, hendaklah dipenjara boleh sampai 20 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sariaty Zainal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh yang kelihatan bersahaja merayu mahkamah memberikan hukuman ringan kepadanya bermula dari tarikh dia ditangkap.

Ketika disoal oleh Zaman adakah dia sedar perbuatannya itu boleh menyebabkan anaknya meninggal dunia, lelaki itu menjawab ringkas, “Saya sedar. Saya menyesal buat anak saya begitu" katanya.

Amirah bagaimanapun memohon mahkamah memberi hukuman yang wajar terhadap tertuduh dengan mengambil kira keadaan bayi itu yang tidak sedarkan diri ketika dibawa ke hospital.

" Jika bayi itu terlambat dikejarkan ke hospital, ia boleh menyebabkan kematian. Ini adalah kesalahan serius dan sepatutnya sebagai bapa, tertuduh perlu menjaga anak kandungnya dengan baik. Ketika ini terlalu banyak kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak berlaku.

" Di harap hukuman terhadap tertuduh dapat memberikan mesej kepada masyarakat supaya tidak bersikap sambil lewa terhadap anak-anak," katanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menjaga anaknya ketika ketiadaan ibu angkat bayi itu dan sejurus selepas wanita itu pulang ke rumah, tertuduh menyuruh wanita itu membawa bayi berkenaan ke hospital.

Hasil siasatan mendapati, bapa angkat bayi itu melihat tertuduh mencampak bayi berkenaan lalu cuba menghalang perbuatan tertuduh namun tidak dihiraukannya.

Doktor yang memeriksa bayi itu dimaklumkan bahawa bayi itu terjatuh. Pemeriksaan mendapati terdapat pendarahan pada otak bayi yang ketika itu berada dalam keadaan koma.

Disiarkan pada: March 9, 2018 @ 3:02pm
d