mutakhir

Kedai, masjid, sekolah turut terjejas

Oleh Syanty Octavia Amry dan Awaina Arbee

TAMAN Setiawangsa dan kawasan sekitarnya antara yang terjejas teruk berikutan krisis ketiadaan air yang berlaku sejak 6 Mac lalu.

Rata-rata penduduk mengakui tertekan dan berasa susah kerana bagi mereka air adalah keperluan harian buat semua.

Tidak hanya kawasan perumahan, kawasan sekolah, tadika dan beberapa medan selera di sekitar sini turut terganggu dengan masalah air ini.

Masalah yang dijangka akan berakhir sehingga Ahad ini memaksa penduduk dan orang ramai mendapatkan bekalan air daripada paip disediakan oleh Syarikat Bekalan Air Sdn Bhd (Syabas).

Difahamkan seawal 3 pagi sebahagian penduduk sudah bersiap sedia menunggu bekalan air tiba mengikut jadual yang diberikan oleh Syabas.

Tinjauan di Taman Setiawangsa pagi tadi mendapati, penduduk berasak mendapatkan bekalan daripada kawasan yang dipercayai terdapatnya paip air.

Penduduk, Masrini Massri, 34, berkata, dalam sehari, dua kali Syabas akan datang membawa bekalan air dan dia perlu bersiap sedia apabila diberitahu oleh persatuan penduduk di kawasan tempat tinggalnya.

"Saya dan suami perlu sentiasa bersiap sedia kerana jadual kedatangan air tidak menentu. Kadang-kadang awal pagi dalam 3 dan 6 pagi.

"Kadang-kadang mereka datang 3 pagi dan 1 tengah hari. Memang penat tetapi apa boleh buat kalau tidak tunggu memang keringlah rumah tanpa air.

"Saya ada tiga anak kecil yang masih bersekolah dan pastinya memerlukan air setiap hari untuk kegunaan harian," katanya.

Penduduk, Azman Shaari, 48, berkata, air di rumah saya mula tiada sehari lebih awal sebelum dimaklumkan oleh Syabas masalah air akan berlaku.

"Masalah ini menyusahkan saya yang mempunyai empat anak yang masih bersekolah. Tanpa air ia membantutkan rutin kerja harian saya.

"Isteri tidak boleh memasak di rumah dan kami tidak dapat mandi lama seperti biasa selepas penat pulang daripada kerja," katanya.

Dia yang juga seorang guru berkata, selain di rumah di sekolah juga turut mengalami nasib sama.

"Saya mengajar pada sesi petang di SMK Taman Setiawangsa dan tangki air setiap hari kering. Kami terpaksa menghubungi Syabas meminta mereka datang membekalkan air untuk semua," katanya.

Dalam pada itu, beberapa masjid terjejas juga mendapat bekalan air daripada Syabas bagi memudahkan urusan melakukan solat Jumaat di tempat mereka.

Ini melegakan pesara, Ahmad Kamal, 50, kerana ia perkara yang baik untuknya dan semua penduduk.

"Syukur Alhamdulillah Syabas sentiasa peka menyediakan bekalan air kepada semua termasuklah di masjid.

"Saya ada pergi ke beberapa kedai makan di Bandar Sri Permaisuri dan mereka menggunakan cawan dan pinggan plastik berikutan tidak dapat menggunakan air.

"Saya berharap masalah ini akan segera berakhir dan selesai seperti yang dijanjikan," katanya.

Pada 2 Mac lalu, Syabas mengeluarkan kenyataan memaklumkan penduduk di sekitar Lembah Klang akan mengalami masalah gangguan bekalan air bermula 6 Mac.

Ia berikutan kerja-kerja pembaikan peralatan loji air Sungai Selangor SSP3.

Sebanyak 505 kawasan terjejas yang membabitkan lokasi seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Klang, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

Disiarkan pada: March 9, 2018 @ 8:24pm
d