mutakhir

Bomba bantu hantar air

Oleh Faliq Lajim

PENDUDUK di Seksyen 17, Shah Alam lega selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghulurkan bantuan selepas bekalan air di rumah mereka terputus sejak Selasa lalu.

Justeru, lebih 300 penduduk datang ke Tapak Pasar Malam, Seksyen 17, Shah Alam untuk beratur mendapatkan bekalan air berjumlah 80,000 liter yang dibawa menggunakan empat lori tangki air selain turut dibekalkan tong air percuma oleh Barisan Nasional (BN) Selangor.

Penduduk, A Pandian, 49, berkata, dia sangat bersyukur apabila bantuan itu sampai selepas empat hari menunggu bekalan air yang tidak kunjung tiba.

“Saya berhabis kira-kira RM300 untuk membeli air minuman bagi kegunaan saya sekeluarga. Bayangkanlah, di rumah saya ada 13 orang.

“Mahu makan, minum semua tak cukup. Saya mandi pun guna air minuman. Itu pun pada hari ini saya nak beli air minuman di kedai semua dah habis, memaksa saya mencari air di merata tempat.

“Saya turut mengadu kepada pihak bertanggungjawab namun tak diendahkan. Pagi tadi saya mengadu kepada Penyelaras Kerajaan Persekutuan Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, terus lori tangki bomba datang,” katanya.

Pandian berkata, demikian ketika ditemui dalam Program Khidmat Pemberian Air oleh Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Azhari yang juga Ketua UMNO Bahagian Shah Alam serta Koordinator Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Datuk Nor Hisham Ses.

Warga emas, Fauziah Ibrahim, 68, berkata, ketiadaan air sangat menyeksakan berikutan tenaga yang terbatas disebabkan faktor usia.

“Dari Selasa lalu rumah mak cik tiada air. Air minuman yang mak cik beli untuk kegunaan harian semua sudah habis.

“Hari ini bila mak cik dengar ada bomba datang nak bagi air terus mak cik datang dengan jiran.

“Mak cik tinggal dengan anak mak cik tetapi mereka bekerja. Jadi mak cik kena ambil air dulu sebelum habis walaupun ia hanya dapat bertahan tak sampai sehari,” katanya.

Sementara itu, Noh berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk di kawasan yang mendakwa kehidupan harian mereka ‘lumpuh’ berikutan ketiadaan bekalan air.

“Oleh itu, saya arahkan bomba hantar bekalan air di sini selain ke sekolah, hospital, masjid, surau dan pelbagai tempat awam lagi termasuk bantuan bomba dari Pahang dan Melaka,” katanya.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sebelum ini memaklumkan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air yang dijadualkan sehingga hari ini berikutan kerja pembaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Namun, jadual pemulihan bekalan berkenaan tersasar daripada jangkaan apabila sistem mampatan udara di loji itu pecah, kira-kira jam 5 petang Selasa, menyebabkan lima batang paip bersaiz 1,100mm rosak dengan dua daripadanya pecah dan terpelanting keluar dari strukturnya.

Perkara itu menyebabkan proses pemulihan bekalan di 427 kawasan di sekitar Lembah Klang antaranya Shah Alam, Klang, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat terganggu namun dijangka pulih sepenuhnya pada Ahad secara berperingkat.

Disiarkan pada: March 9, 2018 @ 8:36pm
d