mutakhir

28 warga Bangladesh taukey, pekerja homestay mewah dicekup

Oleh Safeek Affendy Razali; Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Nasaruddin Parzi

DUA puluh lapan warga Bangladesh yang menjadi ejen dan menjalankan perniagaan sewaan rumah penginapan atau homestay mewah ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi di Jalan Imbi, malam tadi.

Serbuan bermula jam 11.30 malam itu dilakukan Unit Quick Responds Team (QRT) Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa bersama Bahagian Operasi JIM Putrajaya susulan pendedahan ekslusif Berita Harian minggu lalu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, siasatan ke atas individu yang ditahan berkenaan membongkar kegiatan mereka menjalankan perniagaan penginapan tanpa memiliki kebenaran yang sah dan turut disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit serta pas yang sah.

Beliau berkata, individu yang ditahan adalah warga Bangladesh yang disyaki bekerja sebagai ejen, Pengurus Syarikat dan rakan kongsi bagi perniagaan berkenaan.

"Pemeriksaan juga mendapati lima syarikat yang menjalankan perniagaan ini dimiliki oleh warganegara asing dipercayai mereka menyewa secara jangka panjang dari pemilik sebenar unit-unit pangsapuri yang terdapat di premis ini.

"Setiap satu pengusaha mempunyai hampir 20 unit pangsapuri dan mengiklankan tempat-tempat penginapan ini di media sosial dan laman web perhotelan dengan harga serendah RM150 hingga RM250," katanya.

Mustafar berkata, hasil serbuan pihaknya merampas wang tunai RM29,000 dipercayai hasil sewaan pangsapuri berkenaan, kad akses dan pelbagai dokumen berkaitan sewaan pangsapuri dan residensi.

"Malah semasa pemeriksaan dalam pejabat dan beberapa unit kediaman, pihak JIM menemui kelengkapan servis bilik seperti tuala mandi, sabun, berus gigi serta troli beg yang lazimnya disediakan dalam setiap khidmat perhotelan.

"Selain itu beberapa lelaki warga Bangladesh ini turut ditugaskan sebagai pengemas atau pencuci bilik sebelum dan selepas dimasuki pelanggan mereka," katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2018 @ 9:13pm
d