mutakhir

Mas Ermieyati rehat dua minggu

Oleh Mohd Hilmie Hussin

TIMBALAN Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berehat selama dua minggu daripada menjalankan sebarang aktiviti politik selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Mahkota di Melaka sejak Khamis lalu.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah dimasukkan ke hospital selepas dinasihatkan doktor yang merawatnya bagi membuang kandungan luar rahim serta menjalani beberapa siri pembedahan.

Mas Ermieyati berkata, dia menjalani tiga prosedur bagi mengatasi masalah dihadapi.

“Saya jalani prosedur cuci kandungan, ikat rahim dan membuang cyst selama tiga jam dalam dewan bedah.

“Saya memang berhasrat untuk mengandung lagi selepas memperoleh lima anak tapi saya syukur dengan ketentuan Allah SWT yang pasti merancang perkara terbaik untuk kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan terbabit, hari ini.

Beliau berkata, pembedahan itu dilakukan Jumaat lalu dan dia menjangkakan dapat pulang ke rumah esok.

Dalam senyum, Mas Ermieyati yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO sentiasa memantau perkembangan politik menerusi berita televisyen di pusat perubatan terbabit.

“Agak terkilan kerana terpaksa melihat jentera Puteri bekerja sedangkan kita terlantar di katil hospital,” katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2018 @ 4:40pm
d