mutakhir

Umpan guru dengan 'hadiah istimewa'

Oleh Shahrinnahar Latib

PERKENALAN singkat guru wanita dengan lelaki di Facebook yang mengumpan hadiah istimewa membawa padah apabila kerugian RM41,500 selepas diperdaya oleh sindiket ‘love scam’ sejak awal tahun lalu.

Kejadian bermula pada 22 Januari lalu apabila mangsa yang berusia 50 tahun dari Taman Saujana Idaman di Jerantut, menerima mesej daripada suspek melalui Facebook yang kononnya mahu memberi hadiah sebagai tanda perkenalan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 29 Januari lalu, mangsa dihubungi oleh suspek dan diberitahu perlu membayar RM4,500 untuk pelepasan hadiah berkenaan daripada pihak kastam.

“Pada 3.30 petang hari yang sama, mangsa memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek.

“Pada 30 Januari lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai wakil ‘Ajen T Link’ dan memaklumkan perlu membuat pembayaran berjumlah RM18,000 bagi urusan mendapatkan ‘Certificate Laundry Money’,” katanya ketika dihubungi, di Jerantut, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian memasukkan wang berjumlah RM18,000 berkenaan di bank di Jerantut kira-kira 3 petang pada hari yang sama.

“Pada 1 Mac lalu, pada 2.12 petang, mangsa menerima pesanan daripada lelaki itu yang mendakwa sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) namun ditahan oleh pihak kastam kerana membawa wang berjumlah AS$100,000 (RM391,249). Suspek meminta mangsa membayar RM4,000 kepada pihak kastam.

“Pada hari berikutanya mangsa memasukkan duit RM4,000 ke dalam akaun bankyang diberi suspek berkenaan. Pada 6 Mac lalu, mangsa sekali lagi memasukkan RM15,000 ke dalam akaun yang sama bagi tujuan yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, guru wanita terbabit sedar ditipu apabila lelaki yang menghubunginya kali pertama itu meminta mangsa memasukkan wang berjumlah RM30,000 bagi melepaskan diri daripada perbicaraan mahkamah.

Guru berkenaan membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, semalam.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya sedang mengesan semua suspek yang terbabit.

Polis kini sedang giat memburu ‘keldai akaun bank’ iaitu mereka yang dipergunakan atau bersekongkol dengan sindiket untuk membuka akaun bank untuk enipu mangsa.

Disiarkan pada: March 10, 2018 @ 5:23pm
d