mutakhir

'Aircond' punya pasal, kereta kena bakar

Oleh Amrullah Abdul Karim

PERTELINGKAHAN sepasang suami isteri kerana masalah kereta tiada pendingin hawa dipercayai punca sebuah kenderaan dibakar di Taman Seroja, Bukit Sentosa, Bukit Beruntung, pagi tadi.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, sebuah Perodua Kancil terbakar di Jalan Seroja 1B, Taman Seroja.

Kejadian disedari penduduk yang melihat kepulan asap tebal dari tepi kediaman pasangan itu sebelum menghubungi bomba.

Penduduk dikenali sebagai Fahmi, 50, berkata, pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an itu sudah bergaduh sejak tiga hari lalu.

"Difahamkan, Perodua Kancil itu banyak masalah teknikal termasuklah pendingin hawa yang rosak.

"Keadaan itu menyebabkan pasangan itu bergaduh kerana menghadapi masalah untuk ke mana-mana termasuk susah menghantar anak ke sekolah.

"Ada yang melihat si isteri memecahkan cermin kereta itu semalam di tempat sama dan pagi tadi kenderaan itu pula dibakar," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.38 pagi sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kereta itu musnah 100 peratus dan punca kebakaran dipercayai sengaja dibakar kerana pergaduhan suami isteri.

Disiarkan pada: March 10, 2018 @ 6:33pm
d