mutakhir

'Malang nasib si penyamun' [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

LELAKI bersenjatakan parang gagal menyamun sebuah pasar mini di Panorama Lapangan Perdana, di Ipoh petang semalam selepas berjaya diberkas orang awam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, penyamun berkenaan bertindak memasuki pasar mini terbabit dengan memakai topi keledar sebelum mengacukan parang kepada pemilik kedai yang berada di kaunter pembayaran.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai terdapat tangkapan seorang lelaki oleh orang awam yang dipercayai terbabit kejadian samun.

"Polis kemudian ke tempat kejadian dan berdasarkan keterangan seorang wanita yang juga pemilik pasar mini mendapati lelaki yang ditangkap orang ramai itu cuba menyamun premisnya dengan menggunakan parang.

"Pemilik kedai berkenaan kemudian menyerahkan bersama beberapa barang kes yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamun," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, semasa polis menahan semula suspek daripada orang awam itu mendapati lelaki terbabit mengalami kecederaan bengkak pada bahagian tangan kiri dan kanan serta bengkak di bahagian dahi serta sakit seluruh badan.

"Semakan mendapati suspek berusia 34 tahun dan beralamat di Rumah Pangsa Jalan Pasir Puteh, di Ipoh dan polis merampas barangan termasuk parang berserta sarung, beg bimbit dan sebuah motosikal jenis Suzuki TXR 150 warna hijau dipercayai milik suspek.

"Suspek dihantar ke hospital untuk rawatan sebelum ditahan di lokap Balai Polis Bercham, dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun," katanya.

Sementara itu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pasar mini yang cuba disamun berkenaan tular di media sosial yang menunjukkan suspek yang memakai topi keledar memasuki premis sebelum mengacukan parang terhadap pemilik kedai yang berada di kaunter.

Rakaman video berkenaan menunjukkan mangsa mempertahankan diri menggunakan kerusi sebelum suspek melarikan diri sebaik disedari dan dikejar orang ramai.

Beberapa video lain membabitkan penyamun berkenaan berjaya dicekup orang ramai turut tular dan menunjukkan lelaki terbabit diikat pada meter air sebelum diserah kepada polis.

Disiarkan pada: March 11, 2018 @ 4:52pm
d