mutakhir

Dua sahabat 'pergi' bersama

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

DUA kanak-kanak ditemui lemas selepas terjatuh ketika memancing di kolam tadahan di Bukit Chabang, Padang Besar, hari ini.

Mangsa, Muhammad Addam Mat Desa dan Muhammad Rabbani Zaini masing-masing berusia 10 tahun dipercayai lemas sejak pagi sebelum mayat mereka ditemui penduduk kampung sekitar 5.25 petang.

Saudara terdekat mangsa yang enggan dikenali berkata, dua sahabat terbabit yang juga rakan sekelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tinggi kerap ke kolam berkenaan untuk memancing.

“Hobi mereka memancing, malah sebelum ini emak mereka sudah melarang daripada pergi memancing di kolam berkenaan.

“Saya difahamkan hanya mereka berdua sahaja yang pergi memancing di kolam tadahan berkenaan hari ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Tiada saksi ketika kejadian dan berdasarkan maklumat bomba, kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia empat jam sebelum mayat mereka ditemui awam sekitar 5.25 petang.

“Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah berlaku dalam kejadian ini. Kami menemui dua batang joran yang digunakan mangsa selain motosikal Honda C70 yang dinaiki mereka untuk ke kolam berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Tinjauan di pekarangan hospital petang tadi mendapati keluarga kedua-dua kanak-kanak itu masih terkejut dengan kejadian menimpa mereka.

Difahamkan ibu dan bapa dua sahabat itu masih sedih selepas mengetahui kejadian itu dan enggan ditemubual.

Disiarkan pada: March 11, 2018 @ 9:45pm
d