mutakhir

Iyat kongsi penderitaan rakyat Palestin

Oleh Nor Akmar Samudin

Bangi: “Dia pernah dipenjara pada usia 17 tahun dan selepas dibebaskan, dia terus berjuang mempertahankan kampung halamannya di Belin, Area B di Tebing Barat, Palestin.

“Sekarang anak lelakinya pula menerima nasib sama seperti dirinya. Anak sulung dan ketiga ditembak. Anak keduanya dipenjara,” kata Pengurus Aman Palestin Cawangan Perak Khairul Amin Ibrahim mengenai aktivis Palestin Iyat Burnat, 44.

Iyat bakal mengadakan Jelajah Iyat Burnat-Pertentangan Tanpa Kekerasan anjuran Aman Palestin di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bermula semalam hingga 31 Mac depan.

Menurut Khairul Amin yang juga pengarah program jelajah berkenaan, masyarakat tidak didedahkan perkara sebenar yang berlaku di sana kerana laporan media dikawal.

Iyat mempunyai lima anak berusia empat hingga 19 tahun. Pada 2004, abang Iyat dan rakannya mula merakamkan setiap tragedi yang berlaku di sana termasuk kehidupan seharian mereka yang tidak pernah aman.

“Pada 2013, mereka menerbitkannya sebagai satu dokumentari berdurasi 90 minit bertajuk Five Broken Camera kerana sepanjang proses rakaman itu, lima kamera dimusnahkan rejim Zionis. Dokumentari itu akan ditayangkan pada siri jelajah terbabit.

“Dokumentari itu pernah dicalonkan pada Anugerah Oscar pada tahun sama ia diterbitkan,” katanya.

Siri jelajah itu bermula di Kuala Kangsar, seterusnya ke selatan tanah air, Sabah dan Sarawak, pantai timur dan kembali ke utara semula iaitu di Kedah, Pulau Pinang dan Perak sebelum berakhir di Bangi.

Khairul Amin Ibrahim berkata, program penjelajahan kali ini berbeza kerana mereka tidak memainkan sentimen agama, tetapi membawa aktivis Palestin berkenaan untuk berkongsi pengalaman sepanjang berjuang menentang keganasan rejim Zionis di bumi Palestin.

Iyat akan pulang ke Palestin selepas berakhirnya siri jelajalah itu.

Menerusi siri jelajah berkenaan, Aman Palestin menyasarkan kutipan dana RM500,000.

“Kami berharap dana itu dapat dikumpulkan sebelum Ramadan ini agar dapat disalurkan ke Palestin sebelum kedatangan bulan mulia itu.

“Aman Palestin juga akan menganjurkan majlis tahunan iaitu Ramadan Bersama Palestin yang diadakan sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 9:59am
d