mutakhir

Elaun RM9 sejam [METROTV]

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Shamsul Kamal Amaruddin

Bagan Datuk: Elaun pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dinaikkan dari RM7.80 ke RM9 sejam manakala anggota dari RM6 ke RM8 sejam.

Selain penambahan bajet untuk pakaian seragam pasukan itu RM10 juta tahun ini berbanding RM5 juta tahun lalu serta mengarahkan permohonan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambahkan perjawatan tetap dan kenaikan gred perjawatan itu.

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena majlis Program Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga APM Bagan Datuk di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh (SABDA) di sini, semalam.

Difahamkan, ketika ini perjawatan tetap di APM sekitar 1,500 untuk menjaga dua juta anggota sukarelawan di seluruh negara.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengarahkan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Mohd Zuki Ali mengemukakan permohonan itu kepada JPA secepat mungkin.

“Tambahan elaun ini untuk memberi semangat dan motivasi kepada kakitangan dan pegawai APM seluruh negara,” katanya.

Pengumuman itu disambut dengan sorakan dan tepukan 3,000 kakitangan dan pegawai APM dari seluruh Perak yang hadir pada majlis itu.

Hadir sama Menteri di JPM, Datuk Seri Shahidan Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Mohd Zuki dan Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam, Datuk Azmy Yahya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut menyaksikan demonstrasi penyelamatan yang dilakukan anggota APM menggunakan helikopter serta penyerahan aset kepada APM Bagan Datuk.

Ahmad Zahid berkata, hanya kerajaan yang prihatin peduli keperluan mana-mana agensi atau jabatan yang ada tanpa perlu memintanya.

“Jika ada keperluan dan sesuatu itu munasabah, tidak perlu minta, kerajaan luluskan,” katanya sambil menegaskan kerajaan sedia ada perlu disokong demi meneruskan kesinambungan pemerintahan.

Beliau juga berkata, ketika APM berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) keanggotaannya 800,000, tetapi sekarang mencecah 2.1 juta selepas diletakkan di bawah JPM.

Katanya, APM adalah wira yang tidak didendangkan dan mencatatkan pencapaian membanggakan kerana di mana saja lokasi bencana berlaku anggota APM pasti ada.

“Anggota APM bukan sekadar menangkap ular sawa, bukan buat kerja tangkap muat tetapi berada di barisan hadapan,” katanya.

Ahmad Zahid secara berseloroh berkata, pemindahan APM dari KDN sebenarnya ibarat talak raj’ie iaitu talak yang boleh dirujuk dan bukannya talak bain iaitu perpisahan yang tidak boleh dirujuk.

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 10:09am
d