mutakhir

Dukung anak terjun rumah

Oleh Sabaruddin Abd Ghani

Baling: Tindakan pantas seorang bapa yang menggadai nyawa mendukung dan memapah dua anaknya untuk terjun dari pintu rumah setinggi 1.5 meter berjaya menyelamatkan mereka dalam kejadian kebakaran di Kampung Sisik Lantai, Kuala Ketil, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, Isahak Harun, 60, bersama anaknya, Muhammad Syafii Ikmal, 13, dan Nuraida, 10, terpaksa bertindak sedemikian bagi menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran dipercayai bermula dari sebuah bilik tidur sebelum merebak ke ruang tamu.

Isahak berkata, dia yang ketika itu bersiap untuk menunaikan solat Subuh sementara anaknya ingin mandi untuk ke sekolah terkejut melihat api merebak dengan cepat dan terus terjun ke luar rumah.

Menurutnya, mereka tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan di dalam rumah selain wang tunai RM2,500 turut hangus dalam kebakaran itu.

“Saya menjerit meminta pertolongan jiran membantu memadam kebakaran itu menggunakan air paip, tetapi gagal kerana api merebak dengan cepat sebelum menghubungi bomba.

“Saya tinggal menyewa di rumah ini bersama dua anak dan isteri, Jamilah Abdullah, 40, sejak tujuh tahun lalu, tetapi hari ini isteri tiada di rumah kerana pulang ke Thailand atas urusan keluarga,” katanya di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Dia yang bekerja mengambil upah membuat rumah berkata, bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan Aman Jaya yang datang tidak lama kemudian berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak.

“Saya bersyukur kerana kami terselamat namun sedih kerana semua barangan termasuk peralatan persekolahan anak gagal diselamatkan menyebabkan kerugian dianggarkan RM8,000.

“Selepas ini saya terpaksa menyewa di rumah lain dan buntu kerana perlu membeli semua barangan baru dan peralatan sekolah anak yang tentu memerlukan belanja besar sedangkan pendapatan tidak menentu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi BBP Sungai Petani, Pegawai Bomba tinggi (PBT), Anwarzaini Zakaria berkata, seramai 11 anggota bomba dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Ketil dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba jam 6.50 pagi.

“Api berjaya dikawal 15 minit kemudian dan kebakaran itu menyebabkan rumah itu musnah 80 peratus namun punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

“Bagaimanapun, kebakaran itu berkemungkinan akibat sistem pendawaian elektrik yang sudah lama berikutan rumah ini sudah berusia 35 tahun,” katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 10:13am
d