mutakhir

Guna lesen doktor buka premis

Oleh HM Digital

Georgetown: Caj dikenakan bermula RM500 hingga mencecah RM1,000 untuk sekali rawatan.

Itu harga ditawarkan sebuah pusat kecantikan di Jalan Masjid Negeri di sini, untuk pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat bagi membuat rawatan muka termasuk suntikan botoks.

Bagaimanapun, pusat kecantikan terbabit diserbu selepas didapati menggunakan lesen milik doktor perubatan untuk membuka klinik bagi menjalankan perniagaan mereka.

Serbuan dilakukan jam 11 pagi Jumaat lalu oleh sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri selepas melakukan intipan sejak beberapa bulan lalu dan juga hasil maklumat orang ramai.

Sumber berkata, hasil siasatan mendapati premis terbabit beroperasi sejak empat tahun lalu dengan menawarkan khidmat rawatan kecantikan wajah termasuk botoks.

“Ketika serbuan ada lapan pekerja dalam premis berkenaan dan mereka memberikan kerjasama baik sejurus dimaklumkan berkenaan operasi itu.

“Kami merampas pelbagai peralatan rawatan kecantikan termasuk mesin dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati pusat kecantikan itu menggunakan lesen milik seorang doktor yang sepatutnya diluluskan hanya untuk membuka klinik.

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 10:22am
d