mutakhir

'Damailah di sana bos...' [METROTV]

Oleh Faliq Lajim

PEMERGIAN bekas Pengarang Sukan Harian Metro (HM) Abdul Rahim Zain, semalam sememangnya mengejutkan keluarga dan rakannya.

Balu Allahyarham, Jainab Rasul, 59, berkata, kesihatan suaminya yang mencecah 61 tahun pada 15 Januari lalu sudah merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutama selepas beliau diserang angin ahmar beberapa tahun lalu.

Katanya, suaminya itu disahkan mempunyai masalah jantung selepas pengsan ketika bermain badminton di pejabatnya di Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar, beberapa tahun sebelum mengambil Skim Perpisahan Sukarela (VSS) pada 2004.

"Namun, walaupun tidak sihat, arwah suami masih aktif termasuk bermain bowling dan menganjurkan kejohanan sukan itu.

"Keadaan suami menjadi serius akhir bulan lalu dan pada 26 Februari lalu, kami bawa ke Hospital Serdang selepas beliau mengalami edema, namun doktor menasihatkan supaya kami menjaganya di rumah.

"Saya bersyukur kerana dapat menjaganya sehingga akhir hayatnya," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Alam Megah, Seksyen 27, Shah Alam.

Abdul Rahim meninggal dunia pada jam 7.50 malam tadi akibat masalah jantung.

Selain Jainab, Allahyarham meninggalkan tiga anak Imartina, 33; Abdul Wafiy, 27;

Abdul Fayyadh, 21, serta seorang menantu dan dua cucunya.

Jainab berkata, suaminya sangat baik dan mempunyai karakter sangat kelakar.

Beliau berkata, Abdul Rahim sempat berpesan agar beliau sentiasa menjaga diri.

"Beliau sempat berpesan kepada anak sebelum ini untuk menjaga saya ketika ketiadaan beliau di dunia ini.

"Beliau turut meminta agar anak kami sentiasa hidup sepakat, jangan tinggal solat dan bekerja dengan elok," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Penyunting HM, Ahmad Najib Abdul Rahman, 71, berkata, Allahyarham adalah rakan sangat baik sepanjang beliau mengenalinya ketika bertugas di Berita Harian (BH) dan kemudian di HM di Balai Berita Bangsar.

"Rahim umpama permata di mata rakannya. Kami sudah bersahabat baik daripada masa kerja hinggalah sekarang.

"Walaupun kami kadang kala ada bercanggah idea dan pendapat di tempat kerja, selepas itu kami akan pergi minum teh bersama-sama.

"Dia selalu memanggil saya dengan panggilan 'Abang Ajib' kerana perbezaan umur kami jarak 10 tahun," katanya.

Pada 1991, Abdul Rahim menjadi wartawan Malaysia pertama membuat liputan mengenai hari terakhir dasar aparteid di Afrika Selatan.

Allahyarham yang menjadi wakil BH di London ketika itu, banyak membuat laporan mengenai keadaan sebenar kehidupan di negara yang hampir tidak memiliki dasar kemanusiaan susulan pemerintahan berdasarkan warna kulit.

Berita berkaitan

'Bekas Pengarang Sukan HM meninggal dunia'

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 12:34pm
d