mutakhir

Suami jenis apa macam ni?

Oleh Mohd Rizal Abdullah

BUKAN sekadar dihalau dari rumah, isteri turut dibaling kerusi oleh suami dalam kejadian di Permyjaya, Miri, tengah hari kelmarin.

Mangsa berusia 48 tahun itu lebam pada paha kanan selepas terkena kerusi dibaling suaminya dalam insiden pertengkaran antara mereka, pada 12.30 tengah hari.

Difahamkan, mangsa yang berkerja sebagai tukang cuci, banyak berkorban untuk keluarga termasuk membayar sewa rumah.

Sumber memberitahu kejadian berpunca dari sikap suami mangsa yang panas baran, dalam keadaan mabuk, dan mengamuk secara tiba-tiba.

"Mangsa hanya tergamam apabila suaminya tiba-tiba membaling kerusi ke arahnya. Malah, mangsa juga tidak sempat mengelak menyebabkan bahagian paha kanannya lebam terkena kerusi berkenaan.

"Tidak cukup dengan itu, suami mangsa turut menggertak mahu mencederakannya menggunakan parang, selain menghalau wanita itu dari rumah berkenaan. Bagaimanapun, mangsa enggan kerana dia yang membayar sewa rumah," katanya.

Katanya, mangsa mendakwa kejadian itu bukan kali pertama, malah sering berlaku setiap kali suaminya pulang ke rumah dalam keadaan mabuk.

"Disebabkan tidak tahan dengan sikap suaminya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri berhubung kejadian itu," katanya

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berkenaan dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan.

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 2:06pm
d