mutakhir

Ditahan bawa 94kg ganja [METROTV]

Oleh Rosliza Mohamed

DUA sahabat ditahan polis di Gua Musang, Kelantan ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan Johor dengan membawa bekalan dadah disyaki ganja bernilai RM282,260, Jumaat lalu.

Kedua-dua suspek berusia 35 dan 39 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya pada 6 petang di Jalan Jeli-Gua Musang dekat Kampung Meranto, Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kereta Honda Hybrid Insight berwarna hitam dinaiki dua suspek itu dilihat dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan polis menemui 94 ketul mampat daun kering disyaki ganja seberat 94 kilogram (kg).

"Kami dapati suspek baru mengambil bekalan itu dari pangkalan haram antara jam 5 petang sebelum menghala ke pantai barat.

"Bekalan dadah itu untuk pasaran di Pahang, Kuala Lumpur dan Johor memandangkan banyak permintaan di sana," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan itu polis menemui dua paket plastik mengandungi syabu seberat 3.70 gram dalam poket seluar seorang suspek, manakala 200 mililiter (ml) ubat batuk di dalam botol ditemui di dalam kereta itu serta wang tunai RM4,600.

Menurutnya, kereta dinaiki suspek mempunyai kaitan kes curi di Pengkalan Chepa pada Jun 2016, selain menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Hasil siasatan awal, suspek mengaku mengambil bekalan dadah daripada seorang individu di pangkalan haram Lubok Gong, Rantau Panjang.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 16 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu positif dadah jenis Methaphtamine.

Katanya, seorang daripada suspek itu mempunyai 10 rekod lampau berkait kes dadah dan mencuri kenderaan di sekitar Ampang dan Jinjang, Selangor dan Sentul, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 2:51pm
d