mutakhir

Tergamak rompak bekas majikan

Oleh Shamsul Munir Safini

DIBERI SUSU, dibalas tuba. Demikian peribahasa menggambarkan tindakan seorang remaja lelaki yang merompak bekas majikannya dalam kejadian di Kubang Semang, Bukit Mertajam, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 3 pagi itu, remaja berkenaan melarikan motosikal mangsa serta wang tunai RM2,000 yang disamun dari rumah majikannya sebelum diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek yang pernah bekerja sebagai pembantu lori ais dengan mangsa itu diberi layanan baik sebelum berhenti bekerja.

"Suspek dikenali sebagai Lam itu dipercayai tidak berpuas hati dengan majikannya sebelum melarikan motosikal mangsa serta memecah masuk rumahnya dan melarikan wang.

"Susulan itu, satu laporan polis dibuat mangsa yang menyedari kejadian sebelum polis menyerbu rumah suspek di Bukit Indera Muda, Kubang Semang," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, hasil risikan, polis kemudian menahan suspek di hadapan rumah itu dan merampas barang kes iaitu motosikal Yamaha 135LC dipercayai dicuri daripada majikannya dan kunci motosikal itu.

Beliau berkata, hasil siasatan suspek mengaku terbabit dalam kes itu dan sudah membelanjakan RM2,000 wang dicuri hasil pecah rumah untuk membeli dadah dan selebihnya diberikan kepada abangnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 5:58pm
d