mutakhir

Bunyikan hon punya pasal

Oleh Nur Afiradina Arshad

HANYA kerana membunyikan hon, pekerja penghantar surat diserang pemandu kereta yang bertindak memukul kepala mangsa.

Dalam kejadian 6.50 pagi 5 Mac lalu, mangsa berusia 23 tahun, membunyikan hon selepas kereta dipandu `samseng' terbabit membrek secara mengejut ketika melalui Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

Menurut sumber, semasa kejadian mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Sungai Besi.

"Apabila berada di depan sebuah hotel, tiba-tiba Proton Iswara dipandu lelaki terbabit berhenti secara mengejut.

"Disebabkan terkejut dengan kejadian itu, mangsa membunyikan hon motosikal sebelum pemandu kenderaan itu mengejar dia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pemandu itu mengejar mangsa dan terus menghalang laluannya.

"Pemandu terbabit keluar dari kereta dan meluru ke arah mangsa lalu memukul kepalanya sebanyak dua kali dengan menggunakan tangan.

"Pada mulanya mangsa cuba melawan untuk mempertahankan diri tetapi dinasihatkan untuk membuat satu laporan polis berhubung kejadian," katanya.

Katanya, semasa mangsa ingin beredar dan membuat laporan polis, pemandu itu sudah pergi dari lokasi kejadian.

"Mangsa mahu pihak polis menyiasat kejadian ini kerana dia mendakwa menjadi mangsa pembuli jalan raya," katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 6:48pm
d