mutakhir

Dua hari 'terdampar' dalam gaung

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

BERPANTANG maut sebelum ajal. Itu yang berlaku kepada seorang lelaki yang terselamat walaupun pacuan empat roda dipandunya terbabas ke dalam gaung di Jalan Samarakan, di Bintulu, dua hari lalu.

Mangsa berusia 50 tahun itu bagaimanapun hanya ditemui selamat jam 6.20 petang tadi oleh penduduk rumah panjang berhampiran.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.40 petang berhubung penemuan lelaki itu.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.

"Pasukan bomba terpaksa turun ke gaung sedalam 20 meter untuk membawa mangsa naik.

"Mangsa ditemui berdekatan Toyota Hilux yang remuk dalam keadaan lemah dan cedera," katanya, hari ini.

Nor Hisham berkata, menurut penduduk rumah panjang berhampiran, mangsa dipercayai terbabas sebelum kenderaannya jatuh ke dalam gaung Sabtu lalu kira-kira jam 3 pagi.

Katanya, mangsa yang masih dalam keadaan lemah itu kemudiannya diberi rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Bintulu rawatan lanjut.

Tambahnya, operasi menyelamatkan mangsa selesai sepenuhnya jam 7.30 malam dan kes berkenaan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 11:06pm
d