mutakhir

'Dah dapat dadah, gigi pun kau telan'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI berusia 62 tahun tertelan gigi selepas tersungkur ke dalam longkang ketika cuba melarikan diri dari ditahan pihak berkuasa dalam operasi di kebun kelapa sawit di Kilang Kechil, di Pendang petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, lelaki itu mengalami luka di bahagian gusi bawah dan kaki sebelum ditahan bersama rakannya berusia 35 tahun oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pendang.

Selain mereka, sembilan lagi lelaki berusia 25 hingga 40an turut ditahan dalam operasi yang bermula jam 3 petang hingga jam 7.30 malam ini.

Lelaki yang berasal dari Gajah Mati, dekat Baling dipercayai memberi alasan kepada isterinya untuk membeli barang dapur sebelum pergi ke port yang dikenali sebagai "Port Mandu" itu untuk mendapatkan bekalan dadah jenis heroin.

Dia yang sudah lebih 10 tahun menagih dadah itu dan mempunyai lima cucu, mengakui masih di bawah pengawasan AADK tetapi tetap mencari dadah untuk melepaskan gian.

Selain itu, seorang penjawat awam berusia 25 tahun turut ditahan pihak berkuasa di lokasi yang sama.

Dia dipercayai sudah empat tahun menagih dadah jenis heroin dan pernah ditahan kali pertama di port kelapa sawit yang terletak kira-kira empat kilometer dari kawasan itu untuk menagih dadah.

Dia mendakwa kerap datang ke kawasan itu untuk melepaskan gian selepas pulang dari tempat kerjanya di pekan Pendang pada waktu petang.

Selain itu tinjauan di kawasan itu mendapati ia penuh dengan sampah sarap dan turut ditemui beberapa benda tajam yang dipercayai digunakan untuk penagihan dadah.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, serbuan itu kali kedua dilakukan di kawasan itu walaupun baru melakukan operasi Rabu lalu.

Beliau berkata, kebanyakan penagih terbabit adalah yang berjaya meloloskan diri dalam operasi sebelum ini di kawasan port kebun getah di Kampung Paya Kerchut, sebelum berpindah ke kawasan itu.

"Daripada 11 orang yang ditahan, tiga daripada memiliki jenis heroin dan lapan daripadanya adalah penagih.

"Hasil ujian awal saringan air kencing terhadap mereka mendapati kesemuanya positif dadah jenis heroin.

"Kita turut merampas lima tiub straw dan dua paket plastik kecil berisi heroin dan jumlah beratnya masih dalam siasatan," katanya di sini hari ini.

Fadzil berkata, kawasan itu dipercayai aktif sejak sebulan lalu dan dikatakan beroperasi dari awal pagi hingga senja oleh penagih yang datang untuk melepaskan gian.

Beliau berkata, tiga suspek yang memiliki itu diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (2 ) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah manakala lapan yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983.

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 12:09am
d