mutakhir

Rayuan kelakar

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Abnor Hamizam Abd Manap

Seremban: “Saya mohon dilepaskan tuan, kasihan isteri, saya bimbang dia diganggu orang lain sebab dia cantik,” rayu lelaki berusia 30-an yang ditahan dalam operasi bersepadu dilancarkan polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK ) di sekitar Jempol di sini, semalam.

Penagih dadah itu turut mendakwa dia insaf dan berjanji tidak mengambil dadah lagi serta mahu menjaga anak dan isteri dengan baik jika diberi peluang.

Bagaimanapun rayuannya tidak diendahkan anggota polis dan AADK yang melakukan serbuan itu kerana suspek berada dalam keadaan khayal di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, suspek yang tiga tahun menagih dadah itu mendakwa mahu meninggalkan kegiatannya itu, namun dipengaruhi rakannya.

Katanya, suspek mengakui mengambil dadah ketika di luar rumah dan menyembunyikan kegiatan itu daripada ahli keluarga termasuk isteri.

“Lelaki itu antara 24 penagih ditahan bersama syabu seberat 0.41 gram serta heroin seberat 1.06 gram.

“Manakala 10 lagi penagih termasuk sepasang suami isteri ditahan di rumah sepanjang 17 jam operasi bermula jam 12 tengah malam Jumaat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah AADK Negeri Sembilan Nazira Sadiron berkata, serbuan dilakukan ke atas ke sarang penagih di ladang sawit Felda Palong 9, 10 dan 11.

Serbuan dilakukan susulan maklumat daripada orang ramai berhubung kegiatan kumpulan penagih dadah menjadikan lokasi berkenaan sebagai port melepas gian.

Katanya, 35 anggota polis dan AADK terbabit dalam serbuan itu yang menyaksikan lapan suspek diserahkan kepada polis, manakala 17 lagi disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah,” katanya.

Beliau berkata, pada operasi sama di Rembau, 11 individu disaring dan mendapati enam daripada mereka ditahan di Pedas, Chembong serta Kota kerana positif dadah.

“Dalam satu lagi serbuan di Jelebu, sembilan individu ditahan pada operasi di Kampung Lakai, jam 2 pagi hari sama,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 9:50am
d